Pertemuan kembali Nabi_Yusuf_a.s.

Musim kemarau membuatkan ramai orang luar Mesir seperti dari Palestin datang untuk meminta bantuan. Antara mereka ialah adik-beradik Nabi Yusuf sendiri. Walau bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa Yusuf masih hidup malah menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Firaun.

Abang-abang Nabi Yusuf yang tinggal di Palestin pergi ke Mesir bagi menukar barangan dengan makanan. Mereka masuk ke bandar Mesir dan pergi menemui Nabi Yusuf yang menjaga gudang simpanan makanan. Dalam pertemuan itu Nabi Yusuf serta-merta telah mengenali abang-abangnya tetapi mereka tidak mengenalinya.

Yusuf ingin menguji abang-abangnya dengan meragukan identiti dan mengesyaki mereka sebagai musuh dan meminta bukti. Oleh kerana mereka adalah orang-orang musafir gharib, maka sukar sekali bagi mereka untuk memberi bukti atau membawa saksi. Nabi Yusuf memberi peluang kepada mereka dengan membenarkan mereka membeli gandum dari gudang dengan syarat mereka harus membawa Bunyamin atau mereka tidak akan mempunyai peluang lagi. Mereka kini sukar untuk membawa Bunyamin memandangkan bapa mereka Ya’akub menyayanginya dan lebih berat untuk meninggalkannya selepas khabar akan "kematian" Yusuf.

Yusuf bukanlah ingin menganiaya atau membalas dendam tetapi hanya sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama terpisah. Kemudian baginda memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi karung-karung dengan makanan yang perlu tanpa mengambil sedikitpun barangan mereka untuk ditukar.

Tanpa mengetahu hal itu, mereka kembali di Palestin dan memberitahu Ya'akub tentang perjalanan mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka. Tetapi ayah mereka tidak mengizinkan mereka membawa Bunyamin kerana tidak mempercayai mereka lagi setelah apa yang berlaku ke atas Yusuf. Setelah mengetahui bahawa barang untuk ditukar dengan makanan dipulangkan kembali, mereka lebih mudah meyakinkan ayah mereka, Bunyamin dibenarkan mengikuti mereka ke Mesir.

Setibanya di istana, mereka disambut oleh Yusuf yang masih mereka belum menyedari hakikat bahawa itu adalah adik mereka. Mereka disediakan jamuan dan tempat penginapan untuk setiap dua orang sebuah rumah tetapi, Bunyamin diajak bersamanya menginap di istana. Di istana, Yusuf memberitahu segalanya kepada adiknya dan adiknya memberitahu tentang ayahnya pula.

Bunyamin ditahan

Kemudian, Allah telah memberi ilham kepada Nabi Yusuf supaya Nabi Yusuf menyediakan barang-barang makanan untuk dibawa pulang oleh abang-abangnya, baginda Nabi Yusuf telah meletakkan piala minuman Raja Mesir di dalam karung barang-barangan yang diletakkan di atas unta Bunyamin.

Kemudian Nabi Yusuf menyuruh pembantunya berpura-pura menjerit mengatakan Raja Mesir (Firaun) telah kehilangan piala minuman baginda dan menuduh abang-abang Nabi Yusuf yang mencuri piala raja itu.

Selepas meminta diri, mereka pulang tetapi dikejar oleh pengawal istana berkuda untuk memeriksa barangan mereka. Para pengawal mengatakan piala minuman firaun telah hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka telah mencurinya. Mereka mengatakan mereka ke sana bukan untuk mencuri tetapi penggeledahan tetap dilakukan lalu mereka menemui piala minuman itu.

Oleh kerana piala minuman itu ditemui dalam karung kepunyaan Bunyamin, maka Bunyamin ditahan dan tidak dibenarkan menyertai rombongan untuk pulang. Kerisauan muncul dalam fikiran yang lain kerana khuatir akan ayah mereka yang telahpun sengsara dengan kehilangan Yusuf.

Lalu mereka menghadap Yusuf dan merayu agar Bunyamin digantikan dengan sesiapa daripada mereka. Oleh kerana rayuan mereka tidak diterima, Yahudza sanggup menemani Bunyamin. Yang lain pula pulang ke Palestin untuk memberitahu ayah mereka.

Pertemuan kembali keluarga Ya'akub

Apabila berita itu disampaikan kepada ayah mereka, Nabi Yaakub tersangat berdukacita dan sentiasa menitiskan air mata sehingga dia menjadi buta. Selepas beberapa waktu, Nabi Yaakub menyuruh abang-abang Nabi Yusuf pergi semula ke Mesir membeli barang makan dan mencari berita tentang Nabi Yusuf dan Bunyamin.

Maka mereka pun sekali lagi pergi ke Mesir. Setibanya di sana mereka terus pergi menemui Nabi Yusuf dengan membawa barang-barang tukaran yang kurang elok mutunya bagi membeli bahan makanan, kerana itu mereka merayu supaya mereka dikasihani.

Pada saat itulah Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya yang sebenar dan memperingatkan abang-abangnya akan apa yang telah mereka lakukan kepadanya suatu masa dahulu.

Kemudian apabila abang-abangnya sudah bersedia pulang ke Palestin, Nabi Yusuf mengirimkan bajunya dengan pesanan supaya baju itu disapukan ke muka Nabi Yaakub. Nabi Yusuf juga menyuruh abang-abangnya datang semula ke Mesir dengan membawa ibu bapanya bersama (untuk berpindah dan bermastautin di Mesir).

Semasa abang-abang Nabi Yusuf masih dalam perjalanan pulang, Nabi Yaakub memberitahu saudara-maranya dia tercium-cium bau badan Nabi Yusuf.

Setelah abang-abang Nabi Yusuf tiba di Palestin dari Mesir, mereka menyapukan baju Nabi Yusuf ke muka Nabi Yaakub lalu ayah mereka dapat melihat kembali. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku telah berdosa dan meminta supaya ayah mereka meminta ampun bagi pihak mereka lalu Nabi Yaakub memohon Allah mengampun anak-anaknya yang sudah insaf.

Abang-abang Nabi Yusuf kemudian membawa ibu bapa mereka ke Mesir bagi berjumpa semula dengan Nabi Yusuf. Apabila mereka berjumpa, Nabi Yusuf memeluk kedua ibu bapanya lalu menjemput mereka duduk di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf.

Kata Nabi Yusuf, itulah makna taabir mimpinya dahulu, iaitu sebelas adik-beradiknya menghormati dirinya sebagai manusia yang mulia di sisi Allah.

Menurut cerita riwayat tradisi, baginda Nabi Yusuf wafat ketika berumur 110 tahun di Mesir dan kerandanya di bawa oleh Nabi Musa a.s. ketika baginda berhijrah keluar dari Mesir agar dapat dikebumikan di Palestin.